Esei Penilaian

Pengenalan konsep penilaian, pengujian, pengukuran dan pentaksiran.
1) Konsep penilaian.
Stufflebeam (1971) dalam Azizi Ahmad, Mohd Ishak Awang (2008) telah dipetik mengatakan bahawa penilaian sebagai”the process of delineating, obtaining and providing useful information for judging decision alternatives.”
Stufflebeam dalam Mok Soon Sang ( 2009 ) telah dipetik berkata “ penilaian ialah suatu sistem atau proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, untuk membuat analisis dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan”
Gay (1985) juga dalam Azizi Ahmad, Mohd Ishak Awang (2008) telah dipetik berkata “ penilaian adalah satu proses yang dianggap bersistem semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif itu telah tercapai.”
Lee Shok Mee, Mok Soon Sang(1989) telah dipetik berkata “ penilaian dalam pendidikan adalah proses menentukan perubahan tingkah laku seseorang individu dan membuat pertimbangan nilai”
Tan Hui Leng, Ee Ah Meng (!996) menyatakan bahawa penilaian merupakan konsep yang paling menyeluruh dan meliputi pelbagai aspek dalam mendapatkan sesuatu keputusan. Ianya merupakan proses yang melibatkan data dan maklumat kualitatif dan kuantitatif untuk membuat pentaksiran dan mendapatkan hasil penilaian.
Berdasarkan definisi dari hasil pengumpulan maklumat yang pelbagai di atas, dapat disimpulkan bahawa penilaian merupakan suatu proses yang luas menjangkaui maksud pengujian dan pengukuran yang akan diperjelaskan kemudian. Ianya melibatkan interpretasi hasil pengukuran kuantitatif, huraian kualitatif atau gabungan kedua-duanya. Secara kuantitaif, pencapaian murid-murid dinilai dalam bentuk angka dan peratusan. Maklumat dengan cara ini mudah dikemaskini, disusun dan diringkaskan dalam bentuk yang mudah difahami. Secara kualitatif pula melibatkan pengumpulan maklumat tanpa melibatkan nombor. Contohnya Fatimah menyiapkan tugasan tepat pada masa yang ditetapkan.
Secara amnya, penilaian membantu guru menilai prestasi murid secara menyeluruh. Namun, pencapaian keseluruhan itu tetap tidak dapat menjamin dan membayangkan kebaikan seseorang individu murid itu lebih baik dari murid yang lain hanya berdasarkan data kuantitatif sahaja. Sebagai contoh, murid yang mendapat 95% markah di dalam sesuatu penilaian belum tentu lebih baik dari murid yang mendapat markah lebih rendah. Oleh itu, penilaian yang terbaik hendaklah meliputi kedua-dua aspek kuantitatif dan kualitatif.
Penilaian dalam pendidikan seterusnya pula mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, perlaksanaan sesi pengajaran dan pembelajaran dan matlamat ke arah mencapai hasil pengajaran dan pembelajaran.
Ianya juga merupakan suatu proses mendapatkan maklumat berguna sekaligus menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran dan pembelajaran. Perlaksanaan proses penilaian boleh dilakukan sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran berlangsung. Perlaksanaan yang dilakukan sebelum dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu guru menilai keadaan murid dan keberkessanan kaedah dan pendekatan mengajar yang digunakan. Ini adalah berdasarkan perbandingan keputusan penilaian sebelum dan selepas pengajaran.
Mok Soon Sang (2009) dan Azizi Ahmad, Mohd Ishak Awang(2008) menyatakan bahawa penilaian melibatkan aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan dan merumuskan data yang diperoleh.Ianya dilaksanakan dalam 5 peringkat seperti di bawah:
Lee Shok Mee, Mok Soon Sang (1989) dan Mok Soon Sang (2009) menyatakan bahawa tujuan perlaksanaan penilaian dalam pendidikan adalah seperti berikut:
1) Mendapatkan maklum balas berkaitan :
· Pencapaian murid terhadap hasil pembelajaran yang telah ditetapkan sebelum proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.
· Keberkesanan kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru terhadap murid-murid.
2) Mengenalpasti perbezaan individu murid dari aspek fizikal dan mental melalui pencapaian mereka dalam penilaian yang dilaksanakan.
3) Merekod dan mengumpul malumat pencapaian murid di dalam buku rekod atau fail murid.
4) Mengenalpasti, memilih dan membina struktur kurikulum yang sesuai dengan perkembangan semasa murid secara amnya.
5) Menilai keberkesanan perlaksanaan sesuatu program baru seperti KSSR.


2) konsep pengujian
R.M Gagne dalam Mok Soon Sang(2009) telah dipetik berkata “ pengujian ialah suatu cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang individu.”
Lee Shok Mee, Mok Soon Sang (1989) telah dipetik berkata “ pengujian merupakan satu prosedur yang sistematik untuk mengukur perubahan sebahagian daripada semua aspek tingkah laku seseorang individu terhadap pembelajarannya.”
Tan Hui Leng, Ee Ah Meng(1996) telah dipetik berkata “ pengujian bermaksud memperoleh maklumat dengan cara yang objektif dan bersistem”
Azizi Ahmad, Mohd Ishak Awang (2008) telah dipetik berkata bahawa “pengujian merupakan proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen atau prosedur yang bersistem bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu murid.”
Cronbach(1970) dalam Azizi Ahmad, Mohd Ishak Awang (2008) telah dipetik berkata “ ujian ialah satu prosedur yang bersistem untuk memerhatikan perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan membuat huraian dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”
Berdasarkan definisi dari hasil pengumpulan maklumat yang pelbagai di atas, dapat disimpulkan bahawa pengujian melibatkan suatu proses yang berlaku secara sistematik. Oleh itu, pelbagai perkara yang berlaku di dalam bilik darjah boleh dikategorikan sebagai pengujian selagi mana ianya dilaksanakan secara bersistem dan mengikut sesuatu prosedur yang ditetapkan. Sebagai contoh, guru meminta murid untuk menulis hobi dan makanan kegemaran masing-masing di dalam borang khusus.
Maka, perkara ini turut dilihat sebagai pengujian kerana dilaksanakan secara bersistem dan mengikut prosedur khusus iaitu mengisi borang selain mempunyai instrumen tersendiri iaitu borang.
Pengujian dilihat sebagai suatu proses yang terhad dan merujuk kepada suatu teknik untuk mendapatkan maklumat mengenai perubahan tingkah laku individu. Alat yang digunakan untuk mengukur pencapaian murid dalam sesuatu pengujian adalah ujian dan pemerhatian. Ia biasanya dilaksanakan bermula dari peringkat persediaan diikuti dengan peringkat perlaksanaan dan diakhiri dengan peringkat pemeriksaan. Kebiasaannya, pengujian dilaksanakan untuk mengenalpasti kemampuan murid dan pencapaian murid terhadap sesuatu kemahiran atau ilmu yang dipelajari.
Walaubagaimanapun, pengujian merupakan suatu perkara yang tidak mutlak. Pengujian ketinggian mental seseorang tidak dapat di nisbahkan dan dikuantitikan secara kuantitatif.


Lee Shok Mee, Mok Soon Sang (1989) dan Mok Soon Sang (2009) menyatakan bahawa tujuan perlaksanaan pengujian ini adalah seperti berikut :
1) mengenalpasti pencapaian murid dalam sesuatu kemahiran atau isi pelajaran yang telah diajar.
2) Menentukan dan mengenalpasti perubahan tingkah laku murid-murid.
3) Mengelaskan murid kepada kumpulan lemah, sederhana dan bijak mengikut keputusan pengujian yang dilakukan sekaligus melakukan penggredan kepada murid-murid.
4) Pengujian bertindak sebagai motivasi ekstrinsik kepada murid-murid untuk terus mengulangkaji pelajaran.
5) Memilih murid-murid untuk tugas tertentu seperti mewakili sekolah dalam sesuatu pertandingan atau kuiz pendidikan.


3) Konsep pengukuran
Mok Soon Sang (2009) telah dipetik berkata “pengukuran ialah suatu proses atau sistem yang digunakan untuk menentukan nilai kuantitatif sesuatu benda, perkara atau keadaan.”
Tan Hui Leng, Ee Ah Meng(1996) telah dipetik berkata “ pengujian biasanya melibatkan pengukuran. Pengukuran tidak semestinya melibatkan maklumat yang diperoleh dalam bentuk nombor. Walaubagaimanapun, dalam bilik darjah, pengukuran biasanya melibatkan pemberian markah kepada maklumat yang diperoleh.”
Lee Shok Mee, Mok Soon Sang (1989) telah dipetik berkata “ dalam pendidikan, pengukuran merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan murid dalam pembelajaran.”
Azizi Ahmad, Mohd Ishak Awang (2008) telah dipetik berkata “ pengukuran membawa maksud yang lebih luas berbanding pengujian. Pengukuran bermaksud sebagai suatu proses mendapatkan penjelasan secara numeric atau melalui angka tentang sebanyak mana individu atau murid mempunyai sesuatu cirri yang diukur dengan menggunakan instrumen.”
Berdasarkan definisi dari hasil pengumpulan maklumat yang pelbagai di atas, dapat disimpulkan bahawa pengukuran merupakan suatu proses yang melibatkan alat untuk mengukur secara kuantitatif pencapaian murid dalam sesuatu perkara. Pengukuran hanya berfokus kepada penentuan status atau tahap murid. Ianya tidak melibatkan proses penilaian.pengukuran merupakan sesuatu yang tidak bersifat mutlak kerana pengukuran lebih menumpukan kepada penentuan status atau tahap dalam bentuk kuantitatif, berfokus kepada pengumpulan data secara numerikal dan mengkategori.
Secara kuantitatif: peratus markah seperti 90%, 30% dan 39%
Secara kategori : murid lemah, sederhana dan pandai.
Kedua-dua aspek ini dilihat menggunakan 4 skala yang berikut :
· Skala nominal
· Skala nisbah
· Skala interval
· Ordinal


4 skala ini telah dipetik dari Suhaimi al-Bahanjiey (2011) sebagai :
Skala Nominal
Objek dikategorikan mengikut tanda/kumpulan yang “mutual eksklusif”, di mana tidak perlu ada perkaitan diantara kategori. Tidak perlu aturan atau ruangan.
Contoh 1 = lelaki, 2 = perempuan (tidak ada 1.5 atau pengukuran lain di antaranya).
Contoh lain: umur, pekerjaan tetap dan bangsa
Skala Ordinal
Skala yang memberikan nilai pemeringkatan atau penurunan
contoh:
angka 1- sangat tidak setuju
2- kurang setuju
3- sederhana setuju
4- setuju
5- sangat setuju
Skala Interval
Data yang mempunyai ciri pemeringkatan dengan perbezaan bagi setiap unit sela yang sama nilai.
Contoh:
perbezaan suhu antara 35 darjah selsius dengan 25 darjah selsius adalah sama dengan perbezaan suhu 15 darjah selsius dan 5 darjah selsius iaitu sebanyak 10 darjah selsius. Skala ini tidak mempunyai nilai yang mutlak kerana ia disandarkan kepada jarak antara suatu nilai dengan nilai yang lain.
Skala Nisbah
Skala paling mudah dan berkuasa kerana ia mempunyai titik sifar asal yang unik (bukan titik rambang yang asal). Ia mengumpulkan semua sifat diantara semua skala.
Contoh :
Orang yang mempunyai berat 80 kg adalah 2 kali lebih berat dari orang yang mempunyai berat 40 kg. Mengganda atau membahagikan kedua-dua nombor ini dengan sebarang nombor diberi akan memberikan nisbah 2:1
Pengukuran secara amnya hanya mengukur dan menilai prestasi murid berdasarkan alat yang digunakan tanpa wujud interprestasi disebalik pencapaian itu. Murid yang mendapat skor sifar tidak boleh secara totalnya dikatakan tidak mempelajari sebarang perkara semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dan begitu juga sebaliknya. Begitu juga, murid yang mendapat 90% tidak boleh dikategorikan lebih bijak dari murid yang mendapat skor 89%. Guru perlu bijak memilih instrumen yang sesuai dalam usaha memastikan data dan maklumat yang diperoleh sesuai dengan pengukuran yang dilakukan.
Lee Shok Mee, Mok Soon Sang (1989) dan Mok Soon Sang (2009) menyatakan bahawa pengukuran biasanya dilakukan melalui ujian atau peperiksaan untuk mendapatkan maklumat dalam bentuk angka. Kebiasaanya juga, keputusan kuantitatif pengukuran dinyatakan dalam skala selang seperti markah dang red untuk menunjukkan peringkat pencapaian dan skala ordinal untuk mengatur kedudukan prestasi murid dan mendapatkan perbandingan keputusan antara murid-murid.
Tujuan pengukuran berdasarkan analisis yang dibuat adalah seperti berikut:
1) Mengukur tahap pencapaian murid dan mengelaskan kedudukan antara murid berdasarkan data kuantitatif yang dikumpul.
2) Memudahkan guru membuat persijilan terhadap pencapaian murid mengikut jumlah skor mereka.
3) Untuk membuat analisis, pentafsiran dalam sesuatu penyelidikan daripada keputusan pengukuran dengan mudah dan tepat.
4) Membuat perbandingan kedudukan dan pencapaian antara murid dengan murid lain dan antara keputusan lepas dan semasa sama ada berlaku peningkatan, tidak berubah atau penurunan.
4) Konsep pentaksiran
Rozaidi bin Salim (2009) telah dipetik berkata Pentaksiran merupakan satu proses mendapatkan malumat dan seterusnya membuat penghakiman serta pertimbangan tentang produk sesuatu proses pendidikan”
.
Pentaksiran dalam bilik darjah bermaksud proses mengumpulkan dan menafsirkan maklumat tentang pelajar untuk membuat keputusan-keputusan yang dapat meningkatkan pembelajaran dan pengajaran. Tujuan umum penaksiran dalam bilik darjah adalah untuk mengintegrasikan pengukuran dan penilaian dengan pengajaran.Penaksiran dalam bilik darjah adalah untuk mendapatkan maklumat bagi mengukuhkan pembelajaran dan pengajaran. Ianya merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang pembelajaran seorang pelajar bagi sesuatu tujuan. Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.
Selain itu, pentaksiran juga adalah sesuatu yang merangkumi semua proses pengujian, pengukuran dan penilaian.
Selain itu, tujuan lain pentaksiran adalah seperti berikut :
1. Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
2. Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
3. Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
4. Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid
5. Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
6. Merancang dan melaksanakan aktiviti susulan yang berkesan.
7. Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran
Suhaimi al-Bahanjiey (2011) telah dipetik berkata :
Pentaksiran dalam bilik darjah terbahagi kepada tiga iaitu:
i. pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning)
Pentaksiran untuk pembelajaran membolehkan guru melakukan penambahbaikan dan mempelbagaikan kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran. Ianya membantu guru mengetahui kebiasaan kaedah pembelajaran murid kerana ianya dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun.
Pentaksiran ini juga membolehkan murid menggunakan kaedah pembelajaran sendiri dalam memahami dan menterjemahkan kehendak tugasan atau soalan.


ii. pentaksiran sebagai pembelajaran (assessment as learning)
pentaksiran ini merupakan proses yang memberi penekanan terhadap keupayaan tahap pemikiran murid-murid. Murid merupakan peranan utama yang menghubungkan antara pentaksiran dan pembelajaran dengan menggunakan kaedah dan kemampuan mereka sendiri.
Melalui pentkasiran ini, murid seharusnya berupaya mengesan maklumat, menghubungkait maklumat dan mengaplikasikannya untuk mendapatkan dan memahami isi pembelajaran. Hal ini berlaku melalui pembetulan, penyesuaian dan perubahan tentang konsep atau apa sahaja yang mereka fahami.
iii. pentaksiran kepada pembelajaran (assessment of learning) .
ianya merupakan pentaksiran berkelompok secara sumatif. Ianya dilakukan untuk mengenalpasti pengetahuan dan keupayaan murid. Murid-murid kemudian akan memperlihatkan tahap pemahaman mereka terhadap kehendak kurikulum dan pembelajaran kebiasaannya. Pentaksiran kepada pembelajaran ini juga menunjukkan bagaimana murid-murid ditempatkan dan dihubungkaitkan dengan yang lain
Perlaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 memperlihatkan contoh aplikasi pentaksiran terhadap pembelajaran murid secara menyeluruh mencakupi semua aspek pengukuran, pengujian dan penilaian.
Perlaksanaan pentaksiran program KSSR ini menggunakan pentaksiran secara formatif terhadap setiap unit atau topik pembelajaran yang diajar. Ianya dilaksanakan menggunakan kaedah pentaksiran pelbagai.
Pentaksiran pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan pada program KSSR ini adalah secara berterusan sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran. Perlaksanaannya meliputi ketiga-tiga bahagian pentaksiran iaitu pentaksiran untuk pembelajaran, pentaksiran kepada pembelajaran dan pentaksiran sebagai pembelajaran. Ianya bersifat asli dan menyeluruh.

0 comments:

Post a Comment

IKLAN